Pengajaran Bahasa Sebagai Suatu Wasilah
Membina Kehidupan Berbudaya Luhur: Pengalaman Malaysia

Awang Sariyan, Ph.D

Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Kuala Lumpur

Abstrak

Bahawa pengajaran bahasa, atau lebih tepat pendidikan bahasa, merupakan wasilah ampuh untuk membentuk kehidupan berbudaya luhur bukanlah fakta baru dalam tamadun manusia sejak dahulu kala. Maka pendidikan bahasa sebetulnya bukan sekadar suatu proses mekanis untuk memberikan keterampilan bahasa yang empat, iaitu mendengar, bertutur, membaca, dan menulis dan bukan pula proses yang sekadar memberikan masukan tentang sistem bahasa yang mencakup tata bahasa, ucapan, ejaan, dan kosa kata. Pendidikan bahasa jauh lebih luas daripada itu daripada sudut matlamat dan keperluannya.

Pendidikan bahasa, sebagaimana pendidikan umum, merupakan proses akliah yang bertujuan melahirkan insan seimbang daripada sudut intelek, rohanai, emosi, dan jasmaninya. Keseimbangan diri insan ini, baik pada tingkat individu mahupun masyarakat, menjadi prasyarat tegaknya dan suburnya budaya luhur di tengah-tengah kehidupan makhluk yang dipilih Tuhan menjadi khalifah di muka bumi ini. Budaya luhur yang dijadikan premis dalam kertas ini ialah yang berasaskan hubungan vertikal, iaitu hubungan langsung insan dengan penciptanya dan juga hubungan horizontal, iaitu hubungan langsung insan dengan insan lain.

Dalam rangka mencapai cita-cita melangsungkan budaya luhur dalam kehidupan insan itu, diperlukan strategi tertentu dalam bidang pendidikan bahasa, sama halnya dengan dalam bidang pendidikan umum. Sistem pendidikan di Malaysia mengalami reformasi hampir dua dekad lalu sebagai kesan daripada kesedaran dan penyemakan tentang matlamat dan keberhasilan sistem pendidikan yang berlangsung untuk tempoh kira-kira tiga dekad sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Makalah ini berusaha mengajukan pengalaman Malaysia dalam pemenuhan matlamat dan keperluan bahasa sebagai wasilah pembinaan budaya luhur di kalangan rakyatnya.
 
 

Biodata:

Awang Sariyan, Ph.D, Pengarah (Direktur) Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Pernah menjadi pensyarah (dosen) bidang linguistik dan pendidikan bahasa di beberapa universiti di Malaysia dan di Brunei Darussalam Penyelidikan yang berkaitan: Tesis doktor falsafah ialah tentang Falsafah Pendidikan Bahasa dalam Konteks Pendidikan di Malaysia Penulisan: Telah menghasilkan puluhan buku ilmiah dan umum tentang bahasa dan pendidikan bahasa Melayu, makalah ilmiah untuk pelbagi jurnal dan majalah serta seminar.
 


Return to Abstracts


Conference Program Abstracts Call for Presentations Conference Rationale
Conference Registration Hotel Accommodation Homepage

 
Jadwal Conperensi Abstrak Penyajian Makalah Keterangan Konperensi
Pendaftaran Konperensi Akomodasi / Hotel Homepage

For more information, please contact:

Kipbipa Secretariat
IALF Bali
Jalan Kapten Agung 17
Denpasar
Bali 80232
Indonesia

tel  +62 361 225243 / 221782 / 221783
fax  +62 361 263509
kipbipa@ialfbali.co.id

www.ialf.edu/kipbipa/